Monday 27 May 2013

Lambakan Novel Berunsur Lucah Merosakkan Minda Masyarakat

              Marcapada ini, masyarakat kita seringkali terdetik untuk membaca novel-novel yang berlainan tema dan isi kandungannya. Hal ini demikian kerana masyarakat mungkin sedikit bosan terhadap novel -novel berunsur cinta yang kisah dan jalan ceritanya lebih kurang sama sepanjang masa, tapi tidak dapat dinafikan terdapat juga novel yang dapat menambat hati pembaca. Walaubagaimanapun, terdapat segelintir penulis yang menganggap bahawa mereka bebas untuk menyuarakan idea mereka walaupun dalam bentuk novel yang berunsur lucah.

              Sejak kebelakangan ini, masyarakat telah terdedah dengan lambakan judul novel yang kadangkala berunsur negatif. Hal ini demikian, masyarakat kita suka membaca novel sebegitu dan remaja juga tidak terkecuali dari golongan ini. Remaja seperti mana yang kita tahu masih mencari identiti sebenar mereka seringkali membaca novel berunsur lucah ini dengan alasan "Kebebasan Membaca". Kebebasan membaca ini sebenarnya telah menjurus para remaja kepada kancah maksiat dimana mereka boleh terpengaruh dengan bahan bacaan yang mereka baca. Oleh itu, para ibu bapa perlu mengawasi dan membaca terlebih dahulu isi kandungan novel yang anak mereka beli.

              Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa novel- novel sedemikian dapat membawa pulangan yang besar dan lumayan. Tetapi, adakah hasil pulangan itu berkat? Selain itu, antara punca novel berunsur ini dikatakan boleh merosakkan minda masyarata ialah dari sudut bahasanya. Bahasa yang digunakan kadangkala berunsur kutukan dan makian yang selepas itu digunakan oleh para remaja dalam kehidupan seharian mereka. Keadaan ini telah menghakis nilai kesopanan dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini.

              Seterusnya, sikap rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang kurang cakna dan alpa terhadap agama telah membuatkan mereka merasakan ianya tidak salah untuk membeli novel yang mempunyai unsur lucah ini. Oleh itu, ini telah membuatkan mereka terus dan terus membeli novel - novel sedemikian sehingga ada dikalangan masyarakat Islam di Malaysia yang membuat koleksi novel berunsur ini. Hal ini telah menjurus kepada pembentukan kerohanian yang semakin goyah dikalangan masyarakat. Hal ini tidak termasuk dengan faktor lain seperti internet dimana mereka terdedah kepada unsur-unsur yang berunsur lucah. Tetapi dengan masalah lambakan novel berunsur lucah ini dipasarkan secara terbuka, mereka telah menganggap ini sesuatu yang biasa dikalangan masyarakat. Ini sekaligus telah merosakkan mentaliti dan gaya pemikiran masyarakat khususnya di Malaysia. Jika hal ini berterusan, pembentukan modal insan yang baik dari segi rohani akan terencat dan budaya hedonisme akan bersemi didalam jiwa masyarakat kelak.

            Konklusinya, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan novel ini ditapis dan diberi had umur supaya para remaja khususnya yang dibawah umur untuk membeli novel supaya minda para remaja tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang tertulis didalam novel -novel sedemikian.
               
              

No comments:

Post a Comment